The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Mahamé Siby #isRed

Jan 07, 2026 - FAS

Selangor FC secara rasmi mengumumkan Mahamé Siby, pemain kelahiran Bobigny, Perancis menyertai keluarga Gergasi Merah dalam jendela perpindahan kedua musim 2025/26.

Pemain berusia 29 tahun ini dibesarkan melalui sistem belia AF Bobigny dan memulakan karier profesionalnya bersama kelab tersebut dengan mencatatkan 25 penampilan. Beliau kemudian beraksi bersama Valenciennes FC sebelum menempuh cabaran di Ligue 1 bersama RC Strasbourg, dengan membuat 8 penampilan. Pada tahun 2021, beliau dipinjamkan ke Paris FC, membina karier yang lebih baik dengan 27 penampilan.

Pada tahun berikutnya, Siby melebarkan sayapnya ke Sweden dengan menyertai Malmö FF dan membantu pasukan tersebut menjuarai Allsvenskan 2023. Beliau kemudiannya kembali ke Perancis secara pinjaman, bermain untuk SC Bastia dengan 15 penampilan dan FC Martigues dengan 31 penampilan. Secara keseluruhan, Siby telah membuat 129 penampilan kompetitif termasuk kelab-kelab lain yang beliau pernah bersama, menjaringkan 4 gol dan mencetak 3 bantuan gol.

Menjadikan Selangor FC kelab pertama beliau di Asia, Siby bersedia untuk keluar dari zon selesa dan tidak sabar untuk mengenali serta menyesuaikan diri di sini.

"Saya sudah bersedia untuk keluar dari zon selesa dan menghadapi cabaran baru di tempat saya tidak pernah jejaki seperti di Asia. Selain itu, saya juga tidak sabar untuk menerokai keindahan budaya yang berbeza di Malaysia, menjalin hubungan yang baik dengan mereka serta belajar daripada pengalaman saya akan dapat di sini,” jelas Siby. 

Siby juga sempat menyatakan hasratnya untuk kelab dan penyokong Gergasi Merah dalam temubual bersama pihak Media Selangor FC.

“Saya dengar bahawa para penyokong di sini sangat setia dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa kepada pasukan. Jadi, saya berharap dapat membalasnya dengan memberikan komitmen penuh serta berikan segala yang saya ada di atas padang. Saya ingin meninggalkan kesan yang positif dan berkekalan, bukan sahaja kepada para penyokong tetapi juga kepada kelab,” harapan Siby.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Mahamé Siby. Semoga kehadiran beliau dapat menambah kekuatan barisan tengah Gergasi Merah untuk baki Liga Malaysia musim 2025/2026 dan saingan ACC Shopee Cup 2025/26. Selamat datang, Siby!

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.

Demi Kebanggaan!